Hari Terbuka Sekolah

Posted by WebMaster Wednesday, July 14, 2010 0 comments


KALUMPANG, 14 Julai 2010 : Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari Rabu yang permai kali ini, semua murid bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka.

Seawal jam 10 pagi, kenderaan ibubapa mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Ibubapa dan penjaga dengan diringi para pelajar menuju ke bilik darjah di mana sesi pertemuan dan perbincangan berlangsung. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan pertengahan tahun 2010 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.

Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka sementelah masing-masing bakal menduduki peperiksaan awam yang dianggap besar dalam sistem persekolahan menengah di Malaysia iaitu PMR, SPM. Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.

Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SMK Kalumpang. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah bijak dengan memberi peringatan serta menahan rekod keputusan peperiksaan para pelajar yang tidak hadir bersama ibubapa. Akhirnya, pada jam 12 tengahari guru-guru mula meninggalkan bilik kelas.

Di samping itu Koperasi Sekolah turut mengambil bahagian dengan mengadakan gerai- gerai jualan seperti laksa, burger serta minuman.

Di dewan sekolah diadakan Hari Kecemerlangan Pelajar. Pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 dan Pelajar yang cemerlang dalam PMR dan SPM 2009 di jemput bersama ibubapa untuk menerima hadiah masing2.
TAHNIAH KEPADA PELAJAR YANG CEMERLANG!

| edit post